28 December 2012
:: Ujian itu Tarbiyah, Sabar itu Indah ::
Allah Taala
mendidik hambaNya dengan menurunkan pelbagai ujian. Ujian sebagai “tester”
sejauhmanakah penilaian dan pemahaman hamba dalam soal pergantungan dan pengharapan.
Alhamdulillah, ku bersyukur pada Allah biar ujian itu pahit tetapi yang lebih
memahat di dalam jiwa, apabila Allah Taala serta dengan tiba-tiba
menggantikannya dengan perkara yang lebih baik. Terkadang kita hamba disaat
lemah, banyak percubaan yang mengundang, tertewas juga kadangnya.
Ceria dan
mendungnya kehidupan adalah warna-warni hidup. Tak enak ubi yang direbus tanpa
garam yang masin, tak enaklah pelam muda yang masam tanpa kicap dan gula.
Selepas diberi ujian, barulah terasa enaknya ujian. Mesrakanlah dengan ucapan
alhamdulillah, walaupun duit dikocek sudah kehabisan, sedangkan begitu ramai
yang dipenuhkan koceknya meninggalkan Tuhan.
“Adakah patut kamu
menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu
(ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu
daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan
serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga
berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah
(datangnya) pertolongan Allah?” Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu
dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah)”
(Al-Baqarah :214)
Allah tidak
pernahkan jauh, meninggalkan hambaNya seorang meraba-raba penyelesaian akan
ujian yang dihadapi. Jawapan dan tarbiyyah Allah sangat eksklusif bagi
hamba-hambaNya. Setiap orang diajarkan tarbiyyah berbeza, bahkan jawapannya
juga berbeza. Proses kehidupan membentuk manusia lebih baik, memperbaiki diri
menjadi yang terbaik.
Kita seharusnya
mencedok kisah silam, sejarah yang terbukti. Ketabahan umat Islam zaman lampau
terutama tika zaman Rasulullah S.A.W. Bagaimana keperitan, penderitaan yang di
alami hinggakan kesan ujian tersebut mengobrak emosi, menjengah sampai
menggoyahkan iman. Bukan itu saja, nyawa menjadi taruhan supaya boleh merobek
teguh iman dalam sanubari. Hebatnya para sahabat Nabi S.A.W, bukan kecil-kecil
iman mereka.
“Dan Kami pasti
akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa
dan buah-buahan. Dan sampaikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang
sabar.”
(Al-Baqarah :155)
Kita selalu
merungut, menyalahkan yang lain padahal pada masa yang sama kita sudah
ditewaskan oleh emosi yang memercik, SYAITAN yang membisik, hati membentak dan
ragut dijentik. Aduh, sayangnya emosi itu menjadi alasan ketidaksiumannya kita.
Bagaimana mahu mengubatinya? Mencari penjuru lalu menangis sudahkah selesai?
Tidak! Seharusnya
kita sendiri harus memandu sendiri. Mulakan dari gear mula, mencari titik
permulaan tersebut yang terkandung di dalam jiwa. Muhasabah diri,
menimbang-tara peribadi, kau akan menemui rapuhnya hatimu dalam mencintaiNya,
kesetiaanmu tidak setulus cintaNya, saat itu tangisanmu sangat berguna.
Selepas tangis,
pasti kamu akan mulai bangkit. Allah akan mengisi lompang-lompang pertanyaanmu,
satu jawapan sudah cukup untuk kamu. Tiada diskriminasi, kamu miskin kamu kaya,
kamu pangkat kamu biasa. Asalkan kamu dekat, dan Allah Taala lebih dekat.
Taman menjadi subur
kembali dengan adanya hujan Allah menurunkan, layulah jika hanya ada cahaya
mentari saja. Begitu juga hati, dengan adanya tangis Allah menyuburkan jiwa
semula, terbitnya pula pelangi yang indah.
“Serta memberinya
rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (Ingatlah), sesiapa
berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk
menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala
perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi
berlakunya tiap-tiap sesuatu. “(Surah At-Thalaaq :3)
Bak sajak Hilal
Asyraf :
Kadang susah biar kita bijak bersyukur,
kerana manusia itu sering melupai,
kadang sakit biar kita beringat,
kerana manusia itu sering meninggi diri,
kadang dosa itu biar kita sedar,
kerana manusia itu sering bongkak dalam
kalbunya nanti.
Cabaran itu juga daripada Tuhan,
tidakkah kita memerhatikannya dengan mata
hati?
{Cabaran dan halangan itu dari ALLAH,
menghias untuk kamu menjadi tinggi, mulia disisi Dia}
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment