28 December 2012

:: Ujian itu Tarbiyah, Sabar itu Indah ::


Allah Taala mendidik hambaNya dengan menurunkan pelbagai ujian. Ujian sebagai “tester” sejauhmanakah penilaian dan pemahaman hamba dalam soal pergantungan dan pengharapan. Alhamdulillah, ku bersyukur pada Allah biar ujian itu pahit tetapi yang lebih memahat di dalam jiwa, apabila Allah Taala serta dengan tiba-tiba menggantikannya dengan perkara yang lebih baik. Terkadang kita hamba disaat lemah, banyak percubaan yang mengundang, tertewas juga kadangnya.

Ceria dan mendungnya kehidupan adalah warna-warni hidup. Tak enak ubi yang direbus tanpa garam yang masin, tak enaklah pelam muda yang masam tanpa kicap dan gula. Selepas diberi ujian, barulah terasa enaknya ujian. Mesrakanlah dengan ucapan alhamdulillah, walaupun duit dikocek sudah kehabisan, sedangkan begitu ramai yang dipenuhkan koceknya meninggalkan Tuhan.

Make ALLAH your everything


“Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?” Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah)”
(Al-Baqarah :214)

Allah tidak pernahkan jauh, meninggalkan hambaNya seorang meraba-raba penyelesaian akan ujian yang dihadapi. Jawapan dan tarbiyyah Allah sangat eksklusif bagi hamba-hambaNya. Setiap orang diajarkan tarbiyyah berbeza, bahkan jawapannya juga berbeza. Proses kehidupan membentuk manusia lebih baik, memperbaiki diri menjadi yang terbaik.

Kita seharusnya mencedok kisah silam, sejarah yang terbukti. Ketabahan umat Islam zaman lampau terutama tika zaman Rasulullah S.A.W. Bagaimana keperitan, penderitaan yang di alami hinggakan kesan ujian tersebut mengobrak emosi, menjengah sampai menggoyahkan iman. Bukan itu saja, nyawa menjadi taruhan supaya boleh merobek teguh iman dalam sanubari. Hebatnya para sahabat Nabi S.A.W, bukan kecil-kecil iman mereka.

“Dan Kami pasti akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan sampaikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.”
(Al-Baqarah :155)

Kita selalu merungut, menyalahkan yang lain padahal pada masa yang sama kita sudah ditewaskan oleh emosi yang memercik, SYAITAN yang membisik, hati membentak dan ragut dijentik. Aduh, sayangnya emosi itu menjadi alasan ketidaksiumannya kita. Bagaimana mahu mengubatinya? Mencari penjuru lalu menangis sudahkah selesai?

Tidak! Seharusnya kita sendiri harus memandu sendiri. Mulakan dari gear mula, mencari titik permulaan tersebut yang terkandung di dalam jiwa. Muhasabah diri, menimbang-tara peribadi, kau akan menemui rapuhnya hatimu dalam mencintaiNya, kesetiaanmu tidak setulus cintaNya, saat itu tangisanmu sangat berguna.

Selepas tangis, pasti kamu akan mulai bangkit. Allah akan mengisi lompang-lompang pertanyaanmu, satu jawapan sudah cukup untuk kamu. Tiada diskriminasi, kamu miskin kamu kaya, kamu pangkat kamu biasa. Asalkan kamu dekat, dan Allah Taala lebih dekat.

Taman menjadi subur kembali dengan adanya hujan Allah menurunkan, layulah jika hanya ada cahaya mentari saja. Begitu juga hati, dengan adanya tangis Allah menyuburkan jiwa semula, terbitnya pula pelangi yang indah.

“Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu. “(Surah At-Thalaaq :3)

Bak sajak Hilal Asyraf :

Kadang susah biar kita bijak bersyukur,

kerana manusia itu sering melupai,

kadang sakit biar kita beringat,

kerana manusia itu sering meninggi diri,

kadang dosa itu biar kita sedar,

kerana manusia itu sering bongkak dalam kalbunya nanti.

Cabaran itu juga daripada Tuhan,

tidakkah kita memerhatikannya dengan mata hati?

{Cabaran dan halangan itu dari ALLAH, menghias untuk kamu menjadi tinggi, mulia disisi Dia}






16 December 2012

:: Pesanan Sahabat ::


Sesiapa yang banyak bercakap nescaya banyak berbohong
Sesiapa yang banyak berbohong nescaya kurang malunya
Sesiapa yang kurang malunya nescaya kurang wara’nya
Sesiapa yang kurang wara’nya nescaya hatinya mati

Apabila hati telah menjadi mati, seseorang manusia itu akan sukar untuk menerima hidayah atau petunjuk dari Allah. Tanpa hidayah, hidupnya akan sentiasa berkata-kata dan membuat sebarang dosa menurut hasutan iblis lalu terjadilah penderhakaan terhadap ALLAH..

Imam al-Ghazali berkata: “Keimanan dan kekufuran seseorang tiada terang dan jelas, selain dengan kesaksian lidah. Lidah mempunyai ketaatan yang besar dan mempunyai dosa besar pula. Anggota tubuh yang paling derhaka kepada manusia ialah lidah. Sesungguhnya lidah alat perangkap syaitan yang paling jitu untuk menjerumuskan manusia.”

p/s: " dan jgnlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah ALLAH SWT menyediakan segala yang membawa kebaikan padanya dan berdoalah kepada-Nya dgn perasaan bimbang (kalau-kalau tak diterima) dan juga dengan perasaan berharap (supaya makbul).. Sesungguhnya rahmat ALLAH SWT dekat dgn orang yang memperbaiki amalannya" (Surah Al-A'raf :56)

kita bukan baik, tapi berubah itu lagi baik.. (secebis pesanan dr sahabat, jazakallah hu khairan) peace!!!  ^_^ insyALLAH..

10 December 2012

.. Nabi Sedih Umat Cuai Solat ..



Rasulullah SAW bersabda bermaksud:
“Langit merintih dan memang ia patut merintih, kerana pada setiap tempat untuk berpijak terdapat malaikat yang bersujud atau berdiri (solat) kepada Allah Azzawajalla.” (Riwayat Tirmizi, Ibnu Majah dan Ahmad)
Orang yang meninggalkan ibadah solat kerana cuai oleh urusan dunia akan malang nasibnya, berat seksaannya, rugi perdagangannya, besar musibahnya, dan panjang penyesalannya. Firman Allah SWT bermaksud: “Sesungguhnya solat itu adalah kewajipan yang ditentukan waktunya bagi orang yang beriman.”(An-Nisa : 103)



Abu Hurairah RA meriwayatkan: “Selepas Isyak aku bersama Umar bin Khattab ra pergi ke rumah Abu Bakar as-Siddiq untuk suatu keperluan. Sewaktu melalui pintu rumah Rasulullah SAW, kami mendengar suara rintihan. Kami pun berhenti sejenak. Kami dengar beliau menangis dan meratap: “Ah…andaikan saja aku dapat hidup terus untuk melihat apa yang diperbuat oleh umatku terhadap solat. Ah…aku sungguh menyesali umatku.”

RASULULLAH MENANGIS

“Wahai Abu Hurairah, mari kita ketuk pintu ini,” kata Umar dan kemudian mengetuk pintu. “Siapa?” tanya Aisyah. “Aku bersama Abu Hurairah.” Kami meminta izin untuk masuk dan beliau mengizinkannya. Setelah masuk, kami lihat Rasulullah SAW sedang bersujud dan menangis sedih, beliau berkata dalam sujudnya: “Wahai Tuhanku, Engkau adalah pengawalku bagi umatku, maka perlakukanlah mereka sesuai dengan sifat-sifat-Mu dan jangan perlakukan mereka sesuai perbuatan mereka.”
“Ya Rasulullah, ayah dan ibuku menjadi tebusanmu. Apa gerangan yang terjadi, mengapa engkau begitu sedih?”
“Wahai Umar, dalam perjalananku ke rumah Aisyah selepas mengerjakan solat di masjid, Jibril mendatangiku dan berkata: “Wahai Muhammad, Allah Yang Maha Benar mengucapkan salam kepadamu, kemudian ia berkata, bacalah.” “Apa yang harus kubaca?” “Bacalah firman Allah yang bermaksud: “Maka datanglah sesudah mereka pengganti (yang buruk) yang mensia-siakan solat dan menurutkan hawa nafsunya, mereka kelak akan menemui kesesatan.” (Maryam : 59).
“Wahai Jibril, apakah sepeninggalanku nanti umatku akan mencuaikan solat?”
“Benar, wahai Muhammad, kelak di akhir zaman akan datang sekelompok manusia daripada umatmu yang mencuaikan solat, mengakhirkan solat (hingga keluar dari waktunya), dan menurutkan hawa nafsu. Bagi mereka satu dinar lebih berharga daripada solat.” (Hadis ini juga diriwayatkan oleh Ibnu Umar).
Abu Darda’ berkata: “Hamba Allah yang terbaik adalah yang memperhatikan matahari, bulan dan awan untuk berzikir kepada Allah, yakni untuk mengerjakan solat.” Diriwatkan pula bahawa amal yang pertama kali diperhatikan oleh Allah ialah solat. Jika solat seseorang cacat, maka semua amalnya akan ditolak.

PERINTAH AHLI KELUARGA BERSOLAT
Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Wahai Abu Hurairah, perintahkanlah keluargamu untuk solat, kerana Allah akan memberimu rezeki dari arah yang tidak pernah kamu duga.”
“Barang siapa meninggalkan solat dengan sengaja, maka ia telah kafir.” (Riwayat al-Bazzar dari Abu Darda’). Sabda Rasulullah SAW lagi bermaksud: “Barang siapa bertemu Allah sedang ia mencuaikan solat, maka Allah sama sekali tidak akan mempedulikannya.” (Riwayat Tabarani)